Tuesday, May 31, 2011

Jantina Anak Serah Pada Ketentuan Ilahi....

Bolehkah kita mencampuri kerja Tuhan? Penganut agama Islam sewajarnya berpegang teguh pada rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar. Menerima apa sahaja ketentuan dan takdir yang telah ditetapkan menjadi kewajipan bagi setiap muslim.

Soal zuriat dan jantina anak bukan menjadi urusan kita namun sebagai manusia kita boleh merancang dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini. Menurut Ustaz Mohd Ali Tuah, pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Allah SWT sudah menentukan jantina setiap anak sejak di luh mahfuz lagi.

"Semasa janin dalam rahim ibu berusia 120 hari, malaikat akan datang menulis rezeki, jantina, ajal, maut, jodoh, hidup bahagia atau tidak setiap hambanya mengikut ilmu Allah. Bagaimanapun ia boleh berubah jika orang itu berdoa dan berusaha apabila dia hidup kelak dengan keizinan Allah jua,” terangnya sambil menegaskan segala urusan kehidupan manusia sudah ditentukan dari A – Z sejak azali lagi.

Dalam soal merancang jantina anak, Ustaz Mohd Ali menegaskan sebarang rawatan menggunakan teknologi sains perubatan boleh dilakukan asalkan ia ada alasan yang mendesak (darurat) dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurutnya lagi, sebagai manusia kita digalakkan berusaha, berikhtiar dan berdoa jika mahukan sesuatu. Usaha berdoa terbahagi kepada dua iaitu doa qauliyyah (melalui perkataan) dan doa fi’liyyah (melalui perbuatan seperti pemakanan, pengambilan ubat atau herba dalam soal merancang jantina anak).

“Jika pasangan sudah memiliki ramai anak perempuan dan mahukan anak lelaki maka berusaha dan berdoalah pada Allah agar dikurniakan anak lelaki pula. Jika Allah perkenankan doa tersebut maka makbullah permintaannya.

Seperti mana kisah Maryam iaitu ketika dia berada dalam saat-saat genting selepas melahirkan anaknya Nabi Isa a.s. Tiba-tiba Nabi Isa bercakap “kau goncanglah pokok tamar, nescaya akan berguguranlah buah tamar itu.”

Maka Maryam yang keletihan selepas melahirkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukannya. Dengan keizinan Allah, gugurlah buah tamar,” ceritanya memberikan salah satu contoh usaha ikhtiar yang dimakbulkan Allah.

Kita sepatutnya sentiasa bersangka baik dengan dugaan atau apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Setiap ibu bapa perlu ditekankan tentang keyakinan mengikut ilmu yang dipelajari. Sesungguhnya apa yang Allah SWT tentukan itu adalah lebih baik daripada apa yang kita harapkan.

Tambah Ustaz Mohd Ali lagi, setiap yang Allah kurniakan kepada kita ada rahsia di sebaliknya yang kita sebagai hamba-Nya tidak tahu sama sekali. Sebaiknya kita redha dengan amanah (anak) Allah dan didik mereka dengan sebaiknya.

“Terima sahaja ketentuan Allah kerana ada hikmah yang tersembunyi. Walaupun sudah amalkan pemakanan dan lain-lain usaha untuk mendapat anak jantina tertentu tetapi jika tidak mendapatnya janganlah berasa kecewa. Redha dengan ketentuan Allah. Walaupun semua anak yang dimiliki adalah perempuan, bersyukurlah kerana ketahuilah bahawa setiap anak perempuan akan mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah di akhirat kelak,” katanya.

Beliau turut memberitahu ada Hadis Nabi yang bermaksud “sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan mendidiknya menjadi anak yang solehah maka aku dan dia seperti ini (Rasulullah mengangkat jari telunjuk dan jari tengahnya) menggambarkan rapatnya hubungan bapa anak perempuan itu dengan Baginda.

Sahabat bertanya kalau dua anak perempuan? Ya jawab Rasulullah lagi.Maknanya mendidik anak perempuan juga ada kelebihannya.

Kesimpulannya, penentuan jantina anak patut kita serahkan kepada Allah SWT. Apa yang penting sebagai ibu bapa kita didik mereka (anak lelaki atau perempuan) menjadi anak yang soleh/solehah dengan sebaiknya tanpa berasa kecewa dengan jantina anak yang dikurniakan.

(Sumber Dari Majalah Pa & Ma)

Perkembangan Bayi Dari Minggu Ke 17 Hingga Ke 28

Minggu ke-17, rambut, kening, bulu mata bayi kita mulai tumbuh sementara garis kulit pada hujung jari juga mula terbentuk. Antara keajaiban Allah s.w.t pada saat ini ialah bayi kita telah mempunyai cap carinya yang tersendiri. Walaupun pada masa ini panjang bayi hanya kira-kira 16 cm sahaja iaitu seperti sebatang pen. Puan mungkin akan alami sembelit akibat sistem usus yang perlahan. Rahim kita pula akan semakin membesar dan menekan pundi kencing. Jadi amalkan pada minggu ini, meminum lebih banyak air masak dan memakan makanan berserat, jus buah-buahan serta sayur-sayuran hijau.

Kini kita menyorot pula perkembangan pada minggu ke-18. Walaupun matanya masih lagi tertutup, bayi dalam kandungan kita sudah dapat mengenalpasti cahaya terang menerusi dinding rahim. Bayi kita dapat mendengar degupan jantung kita pada masa ini. Bayi dalam kandungan juga telah mula berbaring pada lelemak yang boleh memanaskan badannya.

Pengaliran oestrogen dan progesterone semakin meningkat dalam badan semasa kehamilan puan masuk minggu ke-18 ini. Ia bertujuan untuk melembutkan serta membesarkan serviks untuk proses bersalin. Kesan yang sama pada selaput mukus dihidung juga berlaku yang boleh menyebabkan berdarah.

Seterusnya kita mengikuti perkembangan minggu ke-19. Bayi akan mula mengeluarkan bahan berwarna putih yang tebal dan berkrim untuk menyelaputi keseluruh tubuhnya. Ia dikenali sebagai verniks dan berfungsi untuk melindungi kulitnya daripada cecair amniotik yang mengelilinginya. Jadi apabila bayi kita lahir kelak bayi kita tidak akan kelihatan seperti tidak mandi selama sembilan bulan. Sesetengah ibu akan berlaku kesan stretchmarks atau tanda calar pada bahagian perut. Hampir 90% wanita akan mengalaminya.

Minggu ke-20. Pertumbuhan bayi dalam kandungan puan saat ini adalah agak perlahan kerana memberi peluang kepada paru-paru dan sistem penghadaman serta imunnya untuk matang. Saiz bayi ketika ini ialah kira-kira 25 cm panjang dan mempunyai berat dalam lingkungan 340 g.

Pigmentasi pada kulit kita mungkin berlaku dengan lebih ketara tetapi ianya akan hilang selepas bersalin nanti. Payu dara kita juga saat ini sedang menghasilkan kolostrum iaitu sejenis bahan cecair keruh (warnanya) yang berfungsi untuk membekalkan semua bahan yang diperlukan oleh bayi kita pada hari pertama selepas lahir. Jangan cuba memicit cecair itu.

Selain itu puan juga akan sering mengalami masalah gusi berdarah dan peningkatan keluaran cecair dari faraj. Sendi dan ligamen-ligamen badan juga akan menjadi kendur. Kita akan lebih kerap merasa sakit pada bahagian belakang badan serta ketegangan dibahagian lain.

Pada minggu ke-21, kita akan mengalami banyak perubahan sementara bayi dalam kandungan pula membesar dengan perlahan. Jadi penjagaan kesihatan agar senantiasa sihat dan bertenaga amat penting. Kita perlu elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat yang boleh membebankan bahagian belakang. Malah kita perlu mengelakkan dari memakai kasut bertumit tinggi.

Seterusnya minggu ke-22. Struktur gigi bayi kita mula berkembang. Pergerakan bayi kita juga menjadi semakin aktif. Puan sebaiknya-baiknya memberikan tindakbalas dengan setiap gerakan, tendangan atau bunyi dalam uterus tersebut. Pada masa ini puan sudah boleh perdengarkannya dengan alunan zikir dan ayat-ayat suci Al-Quran untuk memberikan pendedahan dan didikan awal sejak dalam kandungan lagi. Dekatkan perakam atau pemain cakera padat dekat dengan perut puan. InsyaAllah bayi kita yang bakal lahir akan menjadi anak-anak yang pintar lagi soleh. Belailah gerakan bayi anda dengan penuh kasih sayang.

Kini kita di minggu ke-23. Pada masa ini tangan dan kaki bayi telah terbentuk dengan baik. Jari-jemarinya juga terbentuk dengan baik. Perubahan yang berlaku pada puan untuk minggu ini amat baik. Antaranya ialah rambut, tekstur kulit, kuku da warna kulit. Rambut kita akan menjadi lebat dan berkilauan. Kulit pula akan menjadi bertambah gebu, licin dan lembut.

Pada minggu ke-24 pula, puan akan merasa gembira, sihat dan berpuas hati dengan perjalanan kehamilan puan. Kita akan dapati berat badan kita bertambah secara normal. Perlu kita ketahui bahawa pada minggu ini kedudukan kepala bayi lazimnya berada pada bahagian bawah. Manakala kulit bayi akan menjadi semakin menebal. Namun jangan terkejut sekiranya puan dapati muka menjadi sembap dan membengkak pada ketika ini. Ini kerana tubuh sudah mula menyimpan air yang berlebihan.

Fenomena yang sering berlaku pada minggu ke-25 dan minggu ke-26 ialah badan kita akan senantiasa berpeluh dan berasa panas. Bagi menghilangkan rasa panas tersebut, minumlah banyak air. Untuk mengelakkan dehidrasi semasa bekerja terutama ketika berada dalam penghawa dingin (aircond), basahkan tuala kecil dan lapkan pada bahagian muka, leher, dada, peha dan perut. Pakailah pakaian yang longgar untuk keselesaan. Pada minggu ini saiz bayi kita sudah mencapai 33 cm.

Sekarang minggu ke-27, bayi kita sudah mulai pandai menghisap ibu jari dan menelan air panas (cecair amnion) yang mengelilinginya. Air yang ditelan itu akan keluar daripada badannya sebagai air kencing. Tunas rasa bayi pada masa ini baru terbentuk. Ia sudah bleh bertindakbalas kepada rasa manis, masam dan pahit. Kelenjar peluhnya juga sudah mulai terbentuk dan bayi sudah boleh batuk dan tersedu. Sepanjang kehamilan ini kita amat digalakkan memakai pakaian yang diperbuat dari kain kapas yang boleh menyerap haba dengan baik.

Kini masuk minggu ke-28, bermakna kita hanya tinggal lagi 3 bulan sebelum saat kelahiran yang ditunggu-tunggu tiba. Puan mungkin akan menjadi sedikit pelupa, kekok dan agak janggal. sepanjang bulan-bulan terakhir ini, bayi kita juga telah mula menyimpan bekalan lemak dalam badan. Selain itu puan juga mungkin akan mengalami sakit ulu hati, senak dan kadang-kadang kejang pada bahagian betis. Jangan terkejut jika kita akan berhadapan dengan kontraksi. Ia bukan kontraksi untuk melahirkan tetapi ia sebalik adalah kontaksi kecil yang dipanggil iBraxton Hiksi. Sepanjang kehamilan kita cuba elakkan daripada berfikir perkara-perkara buruk atau negetif. Banyakkan membaca majalah-majalah atau menonton rancangan tv yang berfaedah untuk minda dan perkembangan kehamilan kita.

Wednesday, May 18, 2011

Rumah Kami Terbakar

Halo2...
Lamanya tak update blog. Dalam tempoh sebulan nie macam2 yang telah terjadi. Perkara yang paling menyedihkan rumah kami terbakar pada 22 April yang lalu. Tak dapat nak gambarkan bagaimana perasaan ketika itu. Kami hanya tinggal sehelai sepinggang. Hampir 100% barang dalam bilik kami hamgus terbakar, yang tinggal hanyalah debu....

Walaubagaimanapun, kehidupan harus diteruskan. Mungkin ada seribu hikmah atas apa yang terjadi. Yang berlaku biarlah terus berlalu, apa yang penting adalah hari muka. Terima kasih pada ahli keluarga, sanak saudara serta rakan2 yang menghulurkan sumbangan. Semoga Allah yang balas segala kebaikan yang dihulurkan. Amin....Dush! Dush! Dush!!! Aku dah tak nak pandang kebelakang lagi...

Dipendekkan cerita, kami sekarang dah berpindah ke Bandar Rinching. Walaupun serba kurang, tapi kami akan beli sikit demi sikit barang keperluan.... InsyaAllah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...